Monday 12 December 2011

Nilai BITARA

      CIRI-CIRI GURU YANG BERKESAN DALAM PENGAJARAN BERDASARKAN NILAI BITARA

     Terdapat 6 nilai Bitara yang boleh dikaitkan dengan ciri-ciri guru yang berkesan dalam pengajaran.

             NILAI 1      : INTEGRITI

Integriti merupakan satu nilai atau kualiti yang dimiliki secara berterusan dan mengekalkannya di mana ia mendokong prinsip moral yang tinggi atau tahap profesionalisma seseorang individu khususnya sebagai seorang guru. Seseorang guru harus mempunyai tahap integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugasnya.



Nilai integriti pada seseorang guru boleh dilihat dan dinilai berdasarkan empat petunjuk berikut iaitu :

1.1.1        Adil
Bersikap adil dalam konteks profesionalisma seseorang guru banyak berkait rapat dengan sesuatu keputusan yang dibuat. Misalnya dalam profesion keguruan, seseorang guru sentiasa diperlukan dalam membuat sesuatu keputusan khususnya berkaitan dengan murid-muridnya. Setiap kali membuat keputusan tersebut, seseorang guru haruslah bersikap adil terhadap muridnya sama ada dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Setiap keputusan yang hendak dibuat oleh guru memerlukan pertimbangan yang sewajarnya berlandaskan peraturan-peraturan dan prinsip-prinsip yang sedia ada. Ini bertujuan bagi mengelakkan setiap keputusan yang dibuat tidak berat sebelah atau berpihak kepada satu pihak sahaja. Sebagai contoh semasa proses pengajaran, guru perlu melayani kehendak murid secara adil dan saksama. Jika tidak, murid akan memberi tanggapan atau melabelkan guru tersebut bersikap tidak adil. Ini akan menimbulkan perasaan benci dan sikap ingin memberontak dikalangan murid terhadap guru tersebut. Secara tidak langsung, ketidakadilan ini akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah. Sikap benci dan memberontak murid yang wujud ini akan menyebabkan murid tersebut tidak memberikan kerjasama kepada gurunya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila situasi ini berlaku, ia juga boleh mempengaruhi murid-murid yang lain untuk mengikut sikap murid tersebut. Justeru, pentingnya seseorang itu mempunyai sikap yang adil dalam apa sahaja perkara yang dilakukan

1.1.2        Amanah
Kita selalu mendengar perkataan amanah. Apakah yang dimaksudkan dengan amanah ? Tafsiran amanah sama dengan amanat. Persamaannya ialah ia saling berkaitan dengan kepercayaan yang diberikan kepada seseorang individu untuk melakukan sesuatu tugas atau perkara yang dipertanggungjawabkan. Dalam konteks profesionalisma keguruan, seseorang guru harus mempunyai sikap amanah. Mengapa? Guru telah dipertanggungjawabkan oleh masyarakat dan negara untuk mendidik, mengasuh, membimbing dan membentuk anak muridnya menjadi insan yang berguna, berdaya saing, berinovasi, sentiasa ingin maju dan sebagainya kepada bangsa dan negara.


Dalam pengajaran guru di dalam bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan sama ada oleh pihak kementerian, jabatan, sekolah dan masyarakat selagi ia berkaitan dengan profesion seorang guru. Misalnya, jika Guru Besar mengamanahkan guru tersebut untuk berusaha meningkatkan prestasi muridnya dalam pelajaran, guru tersebut hendaklah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, guru perlu menerapkan nilai amanah dalam diri murid. Guru perlu menegaskan kepada murid supaya sentiasa menyiapkan tugas yang diamanhkan dengan jujur iaitu tidak meniru tugasan atau kerja rumah dengan rakan-rakan mereka. Dengan cara ini, guru dapat mengetahui dan mengesan sejauh mana murid faham dengan pelajaran yang disampaikan melalui hasil tugasan yang disiapkan oleh murid sama ada berkualiti atau tidak.

1.1.3        Akauntabiliti
Akauntabiliti ialah rasa kebertanggungjawaban seseorang individu terhadap tugas dan peranannya dalam sesuatu organisasi. Sikap akauntabiliti ini harus ada pada seseorang guru kerana seseorang guru mempunyai akauntabilitinya terhadap murid, sekolah, masyarakat, bangsa dan negara. Apabila guru mempunyai akauntabiliti, guru akan berusaha melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut rancangan yang telah ditetapkan dengan berkesan. Ini bermakna guru perlu mematuhi dan mengikuti apa yang telah diarahkan oleh organisasinya selagi ia sesuai dan tidak melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang yang sedia ada. Jika peraturan-peraturan sedia ada tidak dipatuhi, maka guru tersebut hendaklah bertanggungjawab terhadap kesalahannya dan tidak menyalahkan orang yang lain. Contoh situasi yang kadang-kadang berlaku di sekolah ialah guru terlupa masuk ke kelas untuk sesi pengajarannya pada waktu yang telah ditetapkan dan memarahi muridnya kerana tidak memberitahunya bahawa waktu tersebut adalah masa pengajarannya. Apabila keadaan ini berlaku, ia menunjukkan guru tersebut tidak mempunyai akauntabiliti yang seharusnya ada pada seseorang guru.. Jadi, bagaimana guru tersebut hendak memastikan proses pengajaran dan pembelajarannya berkesan di dalam bilik darjah.

1.1.4        Telus
Telus dalam konteks sesuatu profesion bermakna menyempurnakan sesuatu tugas yang diamanahkan dengan jujur tanpa menyembunyikan sesuatu perkara. Di sekolah, ketelusan amat penting dan perlu wujud dalam sanubari seseorang guru. Banyak perkara yang memerlukan seseorang guru itu telus dalam menjalankan tugasnya. Contohya guru yang terlibat dalam pengurusan kewangan sekolah haruslah telus dalam menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan kewangan sekolah bagi mengelakkan penyelewengan berlaku. Dalam kelas pula, guru perlu telus terutamanya apabila guru mengutip wang daripada murid untuk membeli buku atau membayar yuran. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru perlu melaksanakan pengajaran yang telah dirancang dengan telus bagi mewujudkan pembelajaran murid yang berkesan.

      NILAI 2 : PROFESIONAL

Profesional berasaskan kemampuan atau kemahiran yang khusus untuk melaksanakan sesuatu tugas dengan cekap dan teratur serta dapat memperlihatkan kemahiran tertentu dalam bidang profesionnya sendiri. Oleh sebab itu, seseorang yang ingin memasuki bidang profesion keguruan perlu mengikuti latihan khusus untuk mengetahui, memahami, mempraktikkan dan mengaplikasikan ilmu keguruan tersebut apabila berkhidmat di sekolah nanti . Nilai professional boleh dibahagikan kepada empat petunjunya iaitu:-

2.1        Beretika
Setiap profesion yang diceburi memerlukan seseorang itu beretika dalam proses melaksanakan tugasnya. Tanpa etika dalam kerja atau tugas yang dilakukan, ia boleh menjejaskan matlamat dan kepentingan sesuatu organisasi. Bayangkan seseorang yang tidak mengamalkan nilai etika di sekolah, apakah pandangan atau tanggapan murid, rakan sejawat, pihat pentadbir dan masyarakat sekeliling. Sudah ia tentu akan mewujudkan pelbagai tanggapan buruk terhadap guru tersebut yang secara tidak langsung akan menjejaskan atau mencemarkan nama baik sesuatu organisasi khasnya nama baik sekolah, jabatan dan termasuk juga pihak kementerian. Semasa pengajaran di dalam kelas pula, guru juga perlu mengamalkan nilai etika ketika melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya di dalam kelas, guru tidak seharusnya memalukan atau mengaibkan murid di atas kesalahan yang dilakukan dengan menghukum atau mendenda murid tersebut. Hukuman atau denda yang diberikan oleh guru terhadap muridnya perlulah berlandaskan etika keguruan yang sewajarnya. Etika penting dalam membentuk seseorang guru di sekolah kerana seseorang guru tersebut merupakan role model kepada muridnya dan masyarakat sekeliling.


2.2        Iltizam
Apakah yang dimaksudkan dengan nilai iltizam pada seseorang guru? Dari segi profesion perguruan, iltizam bermakna penglibatan secara bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu tugas yang di arahkan. Ini menunjukkan bahawa untuk menyempurnakan sesuatu tugas yang diamanahkan tanpa mengambil kira sama ada tugas yang diberikan sukar hendaklah disempurnakan dengan berkualiti dan ini memerlukan guru tersebut mempunyai komitmen yang tinggi. Dalam pengajaran, guru hendaklah mempunyai iltizam yang tinggi untuk memajukan atau prestasi muridnya dalam pelajaran dan membentuk murid menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Oleh itu, seseorang guru tersebut perlu tekun, komited dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu muridnya berjaya. Tugasan atau tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan hendaklah dilaksanakan dengan sepenuh hati tanpa mengira masa dan tidak menganggapnya sebagai beban. Misalnya pada cuti sekolah, ada di antara guru dikehendaki mengadakan kelas tambahan untuk membantu meningkatkan prestasi murid dan sekolah. Jadi, terpaksalah guru tersebut mengorbankan cutinya dan tidak dapat balik ke kampung halaman sendiri. Dalam situasi begini, bolehlah dikatakan guru tersebut mempunyai iltizam yang tinggi dan komited melaksanakan tanggungjawabnya untuk mendidik dan membimbing anak muridnya.

2.3        Cinta Ilmu
Cinta terhadap ilmu bermakna sentiasa menambahkan pelbagai ilmu pengetahuan. Dalam konteks profesion keguruan, seseorang guru perlu sentiasa menambahkan dan meningkatkan ilmu pengetahuannya khususnya dalam bidang tugas mereka. Ia dapat membantu guru tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru harus bijak menggunakan segala sumber maklumat yang ada untuk mempertingkatkan lagi pengetahuannya sejajar dengan perkembangan semasa. Pada hari ini, pemikiran murid lebih ‘canggih’ berbanding zaman dahulu kerana hari ini banyak teknologi atau kaedah untuk murid mendapatkan pelbagai maklumat seperti melalui internet. Oleh itu, guru harus memperlengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk merancang serta mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan di dalam kelas. Justeru, seseorang guru harus mempunyai rasa cinta terhadap ilmu dan elemen ini perlu juga diterapkan di dalam murid-murid itu sendiri. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ada menyatakan bahawa belajar adalah sepanjang hayat. Ini menunjukkan bahawa untuk menambahkan dan meningkatkan ilmu pengetahuan adalah tiada hadnya. Oleh itu, setiap rakyat di Malaysia digalakkan oleh kerajaan untuk sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan tidak semestinya ilmu pengetahuan tersebut hanya berkaitan dengan bidang yang diceburi sahaja termasuk juga guru. Selain pedagogi dan kaedah mengajar, guru perlu meningkatkan dan menambahkan pengetahuan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan penggunaan ICT yang boleh membantu pengajarannya dalam kelas .

2.4        Kompeten
Pecahan nilai Bitara profesional iaitu kompeten menyatakan tentang kemampuan dan kecekapan seseorang individu dalam menyiapkan tugas yang diarahkan dengan hasil yang berkualiti serta efisien dalam tempoh yang telah ditetapkan. Guru harus bersikap kompeten dalam melaksanakan tugasnya di sekolah. Di dalam pengajarannya, guru perlu memastikan muridnya menghasilkan tugasan yang diberikan adalah berkualiti. Dengan cara ini, guru dapat mewujudkan pembelajaran yang berkesan dan menyemai sikap kompeten dalam diri murid-murid.

     NILAI BITARA 3 : SEMANGAT BERPASUKAN
Dalam sesebuah organisasi, semangat berpasukan amatlah penting dalam menyempurnakan sesuatu tugas.Tugas yang sukar jika dilakukan dengan semangat berpasukan akan lebih mudah dilaksanakan. Semangat berpasukan boleh dirujuk sebagai sekumpulan individu yang bersama-sama dan bekerjasama untuk mencapai sesuatu matlamat yang telah ditentukan dalam tempoh masa yang tertentu. Di sekolah, kita dapat mengenalpasti situasi yang menunjukkan semangat berpasukan sentiasa berlaku. Nilai semangat berpasukan ini boleh kita lihat melalui petunujuk berikut:-

3.1        Muafakat
Di sekolah, guru sentiasa diperlukan melaksanakan sesuatu tugas atas arahan jabatan yang memerlukan kerja berpasukan. Semasa melaksanakan sesuatu tugas tersebut secara berkumpulan, sikap muafakat (sebulat suara) dalam membuat sebarang keputusan amat penting untuk menyelesaikan sesuatu tugas. Justeru, guru perlu mempunyai sikap ini kerana guru sering membuat keputusan yang penting dalam melaksanakan sesuatu aktivtiti atau program di sekolah. Begitu juga di dalam pengajaran, guru harus bermuafakat dengan muridnya bagi membantu meningkatkan prestasi murid-murid yang diajarnya seperti dengan cara memberikan galakkan dan bantuan. Dengan bermuafakat, kita dapat mengelakkan salah faham atau tanggapan negative di kalangan ahli kumpulan itu sendiri. Semasa dalam pengajaran, guru perlu mengamalkan nilai ini supaya segala masalah pembelajaran murid-murid dapat di atasi yang secara tidak langsung membantu keberkesanan pengajaran guru di dalam kelas.

3.2        Fokus Matlamat
Sebagai guru, mereka harus faham tentang matlamat yang hendak dicapai. Oleh itu, guru perlu sentiasa fokus terhadap tanggungjawab dan peranannya sebagai pendidik terhadap murid-murid. Begitu juga dalam proses pengajaran guru, matlamat pembelajaran yang jelas perlu dicapai demi kepentingan murid-murid. Oleh sebab itu, sebelum guru memulakan sesi pengajarannya di dalam kelas, guru perlu merancang bagi menentukan matlamat pembelajaran yang hendak dicapai oleh murid dalam kelas. Dengan adanya matlamat, guru tidak terkeluar topik pembelajaran yang hendak diajar kepada murid-murid bagi membantu mewujudkan pembelajaran yang berkesan di dalam kelas.

3.3        Hormat-menghormati
Sebagai guru, sikap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain baik di antara rakan sejawat, dengan murid-murid dan masyarakat sekeliling harus ada pada seseorang guru. Apabila kita sentiasa mengamalkan sikap hormat-menghormati, ia dapat melahirkan sikap saling mempercayai dikalangan ahli sesuatu kumpulan, pertubuhan atau pun sesuatu organisasi. Guru juga perlu menunjukkan sikap hormat-menghormati terhadap murid-muridnya. Ini penting bagi mewujudkan perhubungan yang akrab dan mesra di antara guru dengan murid-muridnya. Dengan wujudnya perhubungan yang mesra akan dapat melahirkan komunikasi yang baik di dalam bilik darjah yang secara tidak langsung dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dan lebih bermakna. Wujudnya kemesraan di antara guru dengan murid dalam proses pengajaran dapat menghilangkan ketakutan murid terhadap gurunya.

3.4        Bangga
Rasa bangga merupakan rasa kecintaan kita terhadap sesuatu organisasi yang kita dokong. Rasa bangga ini perlu disemai dalam diri kita. Misalnya di sekolah, guru perlu menanam rasa bangganya menjadi seorang guru di tempatnya bertugas walaupun di sekolah tersebut mungkin kurang dari segi infrastruktur atau kemudahan yang belum lagi lengkap. Apabila sikap bangga terhadap tempat guru bertugas, guru akan berusaha mengharumkan dan meningkatkan nama baik sekolahnya.

           NILAI 4 : BERORIENTASIKAN PELANGGAN

Siapakah klien guru ? Murid adalah klien atau pelanggan bagi guru. Oleh itu, seseorang guru perlu memberikan perkhidmatan yang memuaskan hati pelanggannya iaitu muridnya dengan mendidik dan membentuk muridnya menjadi seorang yang berjaya. Berorientasikan pelanggan bermakna guru perlu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggannya khususnya murid yang diajar oleh guru tersebut. Nilai Bitara Berorientasikan Pelanggan dibahagikan kepada empat komponen iaitu responsif, proaktif, mesra dan berkualiti.

4.1        Responsif
Komponen ini mengupas tentang kepantasan bertindakbalas dengan cepat tanpa menunggu arahan. Guru harus bersifat responsif dengan pantas. Contohnya dalam kelas, guru hendaklah memberikan respons terhadap sebarang permasalahan, pertanyaan, aduan dan sebagainya yang diajukan oleh murid. Dengan cara yang demikian murid akan memberikan  tanggapan yang baik terhadap gurunya. Bagi murid pula, mereka dapat melatih diri untuk meningkatkan prestasi pelajaran mereka dengan pelbagai cara tanpa menunggu diarahkan oleh guru .

4.2        Proaktif
Guru perlu melibatkan diri secara aktif dalam apa sahaja kegiatan atau aktiviti yang dijalankan di sekolah. Dalam sesebuah organisasi atau jabatan, guru harus mengelakkan diri menjadi ‘sleeping-partner’ dalam setiap aktiviti yang dilakukan di sekolah. Bukan guru sahaja yang proaktif, murid juga perlu melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran mereka untuk mewujudkan pembelajaran yang berkesan di dalam kelas. Untuk menjadi seorang guru yang proaktif, guru perlu mempunyai perancangan yang lengkap untuk mencapai matlamat yang dikehendaki.

4.3        Mesra
Guru juga seharusnya mempunyai sikap mesra dalam profesion keguruan. Sikap mesra seorang guru boleh kita lihat melalui perhubungannya dengan murid-murid, rakan sejawat, pegawai-pegawai tinggi dan masyarakat sekeliling. Guru perlu mewujudkan suasana yang mesra dalam proses pengajarannya. Banyak cara untuk guru untuk menunjukkan kemesraan terhadap murid seperti menyapaa murid, senyum, bergurau-senda dan sebaginya. Perlakuan hendaklah diamalkan secara konsisten dan tidak menganggapnya seperti satu kewajipan atau keperluan. Hubungan yang mesra di antara guru dengan murid tanpa melampaui batas yang sepatutnya dapat membantu seorang guru itu mempunyai ciri-ciri yang baik dalm pengajarannya.

4.4        Berkualiti
Kita mungkin pernah mendengar ungkapan sebegini ‘Guru Berkualiti Melahirkan Pendidikan Yang Berkualiti’. Jika kita meneliti dan mengamati maksud yang tersirat di sebalik ungkapan ini, kita percaya bahawa guru yang berkualiti mampu melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti. Apabila guru itu mampu menghasilkan pelajar yang berkualiti, ia membuktikan bahawa sistem pendidikan di negara kita adalah berkualiti dan mampu menandingi sistem pendidikan di negara-negara lain

      NILAI BITARA 5 : PRIHATIN KEBAJIKAN ANGGOTA

Sebagai guru yang mempunyai nilai-nilai baik berlandaskan nilai Bitara, guru juga perlu mempunyai nilai keprihatinan. Tidak semestinya ketua atau pemimpin dalam sesuatu organisasi sahaja yang perlu prihatin terhadap kebajikan anggota di bawah kuasanya. Guru juga perlu mengambil berat tentang kebajikan murid-muridnya dan rakan sejawatnya setakat yang termampu. Komponen prihatin tentang kebajikan anggota ini boleh kita lihat melalui indikator berikut :-

5.1        Peluang Untuk Maju
Jika kita perhatikan situasi yang berlaku di sekolah, guru sentiasa berusaha untuk memajukan atau meningkatkan prestasi anak muridnya. Bagaimana pula dengan guru? Adakah guru merebut peluang untuk memajukan dirinya sendiri ? Selain mengambil berat tentang anak muridnya dan rakan sejawatan, guru juga perlu mengambil kira tentang dirinya sendiri. Guru harus berusaha untuk memajukan dirinya sendiri sama ada dari segi pengetahuan, kemahiran dan sebagainya. Misalnya pada hari ini, ramai guru berusaha untuk memajukan diri dari segi pengetahuan dengan cara menyambung belajar walaupun secara pendidikan jarak jauh. Sikap seperti ini dapat memberi motivasi untuk murid belajar dengan bersungguh-sungguh

5.2        Empati
Seorang guru yang mempunyai ciri-ciri yang baik seharusnya memiliki sikap empati. Sikap empati ini merupakan satu nilai murni yang perlu ada dalam diri seseorang.Mendengar masalah rakan-rakan atau murid-murid adalah salah satu cara kita menunjukkan sikap empati kita. Pada murid-murid, sebagai guru kita harus peka terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh murid dan mengambil berat tentang perkara tersebut untuk menghulurkan bantuan. Menjadi pendengar yang baik terhadap masalah atau luahan murid-murid akan memberikan tanggapan positif  terhadap kita bahawa kita mempunyai sikap empati terhadap orang lain yang dalam kesusuhan dan memerlukan sokongan atau bantuan kita. Dengan menunjukkan sikap empati, kita dapat mewujudkan dan mengeratkan perhubungan kita di antara satu sama lain.

5.3        Penghargaan
Teori Abraham Maslow ada menyatakan bahawa seseorang individu juga memerlukan penghargaan daripada orang lain di atas apa yang individu tersebut lakukan. Dalam situasi di sekolah, bukan sahaja guru perlu dihargai, bahkan murid juga seharusnya diberi penghargaan. Banyak cara bagaimana penghargaan ini boleh ditunjukkan. Contohnya bagi menunjukkan kita menghargai rakan sejawat kita boleh mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang diperolehi, ucapan terima kasih di atas pertolongan yang dihulurkan. Dalam situasi murid pula, guru harus menghargai hasil kerja yang dilaksanakan oleh muridnya. Misalnya ucapan syabas kerana berjaya menyiapkan projek yang dberikan dengan berkualiti, memberi hadiah kepada murd kerana berjaya meningkatkan prestasi pelajaran sebagai menghargai usaha murid tersebut dan sebagainya. Penghargaan yang diberikan kepada murid amatlah penting supaya murid mengetahui mereka sentiasa diambil berat dan tidak terabai.
   
5.4        Keselesaan Persekitaran
Persekitaran yang selesa dan kondusif amat penting di sesuatu tempat bertugas. Persekitaran yang kondusif mampu menghasilkan produktiviti yang berkualiti. Sebagai contoh di sekolah, persekitaran yang tidak selesa untuk murid belajar kerana kemudahan infrastruktur tidak lengkap menyebabkan murid tidak berminat dan bermotivasi untuk mengikuti pembelajaran di sekolah. Oleh itu, pentingnya persekitaran yang selesa supaya tumpuan atau fokus anak murid kita tidak terjejas. Guru harus memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif walaupun sesebuah sekolah itu serba kekurangan dari segi infrastrukturnya.
       NILAI BITARA 6 : KREATIF DAN INOVATIF
Inovatif dan kreatif adalah komponen yang terakhir dalam nilai Bitara UPSI. Menjadi seorang guru yang berkesan dalam pengajarannya harus memiliki sifat kreatif dan inovatif terutamanya dalam merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Kreatif bukannya bermaksud seseorang guru perlu mereka sesuatu benda. Dalam konteks profesion perguruan, ia bermaksud sejauh mana guru tersebut menggunakan dan mengembangkan idea untuk menjadikan proses pengajaran dalam bilik darjah lebih menarik dan mampu memotivasikan murid-murid dalam pembelajaran mereka. Terdapat empat pecahan komponen bagi nilai Bitara Kreatif dan Inovatif iaitu berdaya cipta,

6.1        Berdaya Cipta
Dalam konteks profesion perguruan, guru perlu berdaya cipta di mana seseorang guru teresebut harus berusaha untuk sentiasa menambahkan pengetahuan sejajar dengan perkembangan semasa suapaya tidak ketinggalan. Di sekolah, guru perlu mempunyai daya cipta yang tinggi bagi merancang pengajaran dengan berkesan. Guru boleh menghasilkan atau mewujudkan idea yang baru yang berkaitan dengan strategi atau kaedah mengajar untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran di dalam kelas. Di samping itu, guru juga perlu menerapkan dan menekan kepada murid suapaya sentiasa memiliki pemikiran yang berdaya cipta.

6.2        Penambahbaikan Berterusan
Bagi guru yang sudah lama terlibat dalam profesion perguruan, mereka sudah mahir dan biasa menggunakan pelbagai kaedah atau startegi pengajaran. Kadang-kadang akan wujud rasa bosan dan jemu menggunakan kaedah atau startegi pengajaran yang sama dan berulang-ulang did alam kelas. Oleh itu, guru memerlukan penambahbaikan terhadap kelemahan atau kekurangan guru tersebut sama ada dari segi pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sebagainya. Penambahbaikan yang dilakukan oleh guru hendaklah bersifat berterusan bagi mewujudkan pengajaran yang berkesan di dalam kelas. Penambahbaikan berkaitan dengan pengetahuan, kemahiran, pedagogi dan sebagainya boleh diperolehi oleh guru melalui bengkel, seminar, kursus, symposium, latihan pratikal dan sebagainya. Apabila guru sentiasa melakukan penambahbaikan tentang dirinya, guru tersebut boleh menjadi seorang guru yang berkesan dalam pengajaran di sekolah.
6.3        Rebut Peluang
Peluang dalam bidang pendidikan bagi pengetahuan dan memperlengkan lagi kemahiran serta pedagogi adalah terbuka luas. Oleh itu, guru perlu merebut peluang yang disediakan untuk memajukan diri sendiri yang secara tidak langsung dapat membantu murid dalam pembelajaran. Justeru, guru perlu bijak dan berani merebut peluang disediakan sama ada peluang tersebut disediakan oleh organisasi,jabatan atau pihak kementerian yang berlainan selain yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tawaran atau peluang yang diberikan janganlah dianggap sebagai satu beban atau tanggungjawab yang perlu dipikul oleh guru tersebut. Jadikanlah sebagai pemangkin dan pendorong untuk menjadi seorang guru yang berjaya, berilmu pengetahuan, berinovasi dan berkualiti. Ini kerana peluang ada hanya dating sekali. Oleh yang demikian guru perlu merebut peluang yang ada di hadapan kita.

6.4        Nilai Tambah
Nilai tambah iaitu pecahan komponen nilai kreatif dan inovatif sebenarnya mengajak dan menggalakan guru untuk menggunakan kemudahan media dan teknologi yang disediakan seperti kemudahan jaringan internet, telefon bimbit, media cetak dan kemudahan sistem portal pelajar mampu membantu dan meningkan keberkesanan pengajaran guru. Melalui kemudahan yang disediakan guru boleh menambahkan pengetahuan dan menyebarkannya kepada murid-murid, rakan sejawat, persatuan, organisasi dan jabatan.


Contoh Jadual Penentuan Kandungan

Jadual Penentuan Kandungan
       Mata pelajaran :          Sains Tahun 6       Topik     :        Daya & Geseran     .
Unit
Pengetahuan
Kemahiran
Fakta
Konsep/Istilah
Generalisasi
Kognitif
Psikomotor
Sosial
Unit 1
Tolakan dan tarikan adalah daya.
Aktiviti tolakan dan tarikan melibatkan daya.
Daya
Tolakan dan tarikan merupakan sejenis daya.
Menyatakan
tolakan dan tarikan adalah daya.
Melakukan simulasi dengan menolak dan menarik telapak tangan untuk menunjukkan kewujudan daya.
Bekerjasama dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti simulasi.
Unit 2
Kesan Daya
Daya tidak boleh dilihat tetapi kesannya boleh diperhatikan.
1. Objek pegun
2. Arah
pergerakan
objek
3. Mengubah
bentuk objek
Daya diperlukan dalam kehidupan seharian.
Menyatakan kesan daya beserta contoh terhadap objek dan pergerakkan objek.
Menjalankan eksperimen secara individu /berkumpulan
Melibatkan diri secara aktif dan bersifat ingin tahu.
Unit 3
Menganalisis geseran
Dua permukaan yang bersentuhan mewujudkan geseran.

1.Daya geseran
2.Objek menjadi
 ‘haus’.

Geseran mempunyai kebaikan dan keburukannya.
Menjelaskan cara meningkatkan dan mengurangkan kesan geseran.

Menjelaskan kebaikan dan keburukan geseren.
Melakukan tunjuk cara kesan geseran yang berkait rapat dalam kehidupan seharian.
Menghargai masa dan sentiasa memberikan perhatian terhadap aktiviti yang dilakukan.