Wednesday 9 November 2011

ASAS KEMAHIRAN BERBAHASA

Asas kemahiran berbahasa terdiri daripada empat bahagian yang paling penting iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Keempat-empat kemahiran ini bukan sahaja dapat meningkatkan proses pembelajaran tetapi juga memudahkan seseorang menguasai sesuatu bahasa atau mata pelajaran lain. Selain itu kemahiran ini juga perlu dalam kehidupan sehari-hari.

Kemahiran mendengar.

Kemahiran mendengar ialah kemahiran yang paling asas untuk mempelajari kemahiran bahasa yang lain. Kemahiran mendengar melibatkan kemahiran menerima maklumat secara lisan. Proses mendengar adalah proses fizikal yang membabitkan telinga sebagai alat penerima bunyi bahasa. Proses memahami pendengaran pula melibatkan proses piskologi dan mental seperti pengamatan, kecerdasan dan pemikiran yang disepadukan untuk membolehkan seseorang itu memahami apa yang didengarnya untuk membuat tindak balas yang sesuai.

Kemahiran mendengar boleh didefinisikan sebagai proses yang membabitkan dua peringkat kemahiran. Peringkat pertama ialah menerima dan membuat perbezaan bunyi bahasa manakala peringkat kedua ialah memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan,frasa,klausa dan ayat.Pemahaman mengenai bunyi bahasa bergantung kepada pengetahuan, pengalaman budaya dan sikap pendengar.

Kemahiran bertutur

Bertutur memerlukan kemahiran kemahiran yang khusus. Kemahiran bertutur didefinisikan sebagai satu cara berkomunikasi yang amat kompleks, melibatkan proses mental yang menggerakkan alat artikulasi  untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna. Di samping penghasilan bunyi bahasa, seseorang itu akan menggunakan unsur prosodi dan para lingusitik ketika bertutur bagi menguatkan maksud pertuturan. Unsur prosodi ialah intonasi, nada, tekanan sebutan dan jeda. Unsur para lingusitik pula ialah bahasa isyarat dan pergerakkan badan. Bertutur ialah cara berkomunikasi yang paling tua, cara berhubung yang paling mudah, murah dan cepat untuk dipelajari. Walaupun tanpa sebarang latihan formal, kanak-kanak secara automatik dapat menguasai perkataan dan mengolahnya menjadi wacana untuk berhubung. Latihan secara formal pula akan memperbaiki , meneguhkan serta mengayakan lagi kebolehan mereka bertutur.


Kemahiran membaca

Membaca adalah kemahiran yang sangat berguna dalam kehidupan sehari-hari. Melalui pembacaan, seseorang akan dapat memperoleh pelbagai maklumat yang diperlukannya . Kemahiran membaca juga menjadi landasan kepada sekumpulan kemahiran yang perlu untuk menguasai kemahiran belajar. Membaca boleh ditakrifkan sebagai satu perlakuan mendapatkan maklumat melalui lambing bertulis atau bercetak. Aktiviti membaca melibatkan  dua proses iaitu menterjemah lambing bertulis(bercetak) kepada bunyi bahasa dan mendapatkan maklumat atau makna daripada bunyi bahasa yang disuarakan itu.

Untuk menjadi pembaca yang efektif, seseorang itu perlu dapat menyebut perkataan dengan betul dan lancar serta mengetahui makna perkataan yang dibaca. Bagaimanapun, dalam proses membaca aspek penyebutan kurang penting berbanding keupayaan berfikir, merasai serta memahami apa yang dibaca. Melalui proses itu, pembaca dapat memahami isi, maklumat, penerangan atau mesej yang hendak disampaikan penulis. Pembacaan tidak berlaku dengan pemikiran yang kosong tetapi diiringi dengan tujuan, jangkaan dan pengetahuan serta pengalaman lalu. Kebolehan mengaitkan dan mengintegrasikan segala aspek berkenaan sangat pentingg dalam menghasilkan pembacaan dan kefahaman.

Kemahiran menulis

Menulis masih menjadi alat perhubungan yang penting walaupun ter dapat pelbagai kemajuan dalam teknologi berkomunikasi. Melalui penulisan sesuatu idea , maklumat, pendapat dan ilmu pengetahuan dapat disampaikan dengan tepat dan jelas dan berkesan jika dibandingkan dengan penyampaian secara lisan. Menulis boleh ditakrifkan sebagai pembentukan simbol tulisan dalam bahasa. Dengan itu, kemahiran asa dalam penulisan berkait rapat dengan kebolehan murid menulis dalam bentuk tulisan yang terang,  jelas dan lengkap. Di samping itu, menulis juga merangkumi kebolehan menggunakan ayat dan penggunaan tanda baca yang betul bagi menyampaikan sesuatu pengalaman.

Kebolehan memilih dan menyusun pengalaman berguna untuk disampaikan secara bertulis adalah amat penting. Pengalaman yang dimaksudkan di sini ialah segala hasil pemikiran, fakta, pandangan dan pendapat, sama ada diperoleh melalui pengalaman sendiri, bacaan atau pendengaran.. Ia termasuk segala jenis penulisan seperti penulisan kreatif, surat, catatan dan ucapan. Bagi semua jenis penulisan ini, kejelasan tujuan, ketepatan fakta dan kekemasan susunan menentukan keberkesanan hasil penulisan itu.

No comments:

Post a Comment