Monday 12 December 2011

Faktor Pemilihan Kaedah Pengajaran

Dalam proses penyediaan rancangan pengajaran, beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan oleh seseorang guru bagi menjamin objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai. Salah satu daripadanya ialah berkaitan dengan pemilihan kaedah pengajaran yang sesuai yang hendak digunakan. Terdapat pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimana pun, beberapa faktor yang mempengaruhi seseorang guru memilih sesuatu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan.

Faktor yang pertama ialah isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru kepada pelajarnya. Isi kandungan pelajaran mempengaruhi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan kerana tidak semua isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan sesuai dengan sesuatu kaedah. Jika pemilihan sesuatu kaedah itu tidak sesuai dengan isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan, ia boleh menyebabkan objektif pelajaran yang hendak dicapai tidak tercapai. Misalnya dalam pengajaran sains yang memerlukan murid menjalankan penyiasatan dalam sesuatu topik pelajaran, kaedah inkuiri-penemuan dan kaedah dapatan adalah sesuai digunakan jika dibandingkan dengan kaedah hafalan.

Selain itu, faktor kesediaan pelajar atau murid juga mempengaruhi pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran oleh guru. Dalam hal ini, guru harus memastikan tahap kesediaan pelajarnya untuk mengikuti proses pembelajaran yang akan datang. Justeru itu, guru harus bijak memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai berdasarkan tahap kesediaan pelajar. Jika tahap kesediaan pelajar tidak diambil peduli oleh guru, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dipilih tersebut tidak akan berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya. Secara tidak langsung, ia akan mewujudkan pelbagai kekangan semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berjalan di dalam bilik darjah.

Faktor yang ketiga ialah pengetahuan dan kemahiran pedagogi guru juga mempengaruhi pemilihan sesuatu kaedah tersebut. Sebagai contoh, jika seseorang guru itu tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam menggunakan sesuatu kaedah pengajaran tersebut, objektif pelajaran yang hendak dicapai mungkin akan terjejas. Oleh yang demikian, guru seharusnya memperlengkapkan dan mempertingkatkan diri dari segi pengetahuan dan kemahiran pedagogi bagi memudahkan seseorang guru tersebut menyampaikan ilmu pengetahuan di dalam bilik darjah.

Seterusnya ialah penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran merupakan antara faktor yang mempengaruhi pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran oleh guru. Bahan pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran menentukan kaedah yang sesuai yang hendak digunakan oleh guru. Ini kerana penghasilan bahan pengajaran dan pembelajaran seharusnya berkualiti dan berupaya menarik minat pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran. Bahan pengajaran dan pembelajaran mampu memastikan kejayaan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dipilih terlaksana dengan berkesan.

Faktor bentuk penilaian pencapaian pelajar juga banyak mempengaruhi pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran oleh guru. Misalnya, jika seseorang guru ingin menilai pencapaian murid dalam mata pelajaran seni, penilaian berbentuk projek lebih sesuai digunakan jika dibandingkan dengan penilaian berbentuk ujian bertulis. Ini kerana setiap kaedah pengajaran dan pembelajaran mempunyai bentuk penilaiannya yang tersendiri. Walau bagaimana pun, terpulang kepada seseorang guru itu bagaimana bentuk penilaian yang hendak dibuat asalkan ia sesuai dengan kaedah yang dipilih tersebut.

Kesimpulannya, adalah amat jelas bahawa pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran ditentukan oleh beberapa faktor tertentu. Ini bermakna pemilihan sesuatu kaedah bukannya dipilih sesuka hati. Ini juga disokong oleh Edward M. Anthony(1963) yang mengatakan bahawa kaedah merupakan satu ikhtiar yang dikehendaki dalam dalam satu set prosedur yang tersusun, berlandaskan kepada pendekatann yang dipilih. Ini bermakna kaedah-kaedah yang dipilih untuk proses pengajaran dan pembelajaran haruslah berdasarkan kepada suatu pendekatan yang berkaitan dengan model, prinsip atau teori pembelajaran.

No comments:

Post a Comment