Monday 14 November 2011

Pengajaran Tatabahasa Dalam Konteks

Bahasa Melayu menghadapi masa depan yang amat cerah . Kedudukannya sebagai bahasa utama negara Malaysia sudah terjamin, dari segi peruntukkan dalam perlembagaan dan juga penggunaannya yang luas. Dasar Pelajaran Kebangsaan negara telah menghasilkan murid-murid yang mendapat keseluruhan pendidikan dalam bahasa Melayu, dan bermula dari tahun 1983, penuntut yang memasuki pusat-pusat pengajian tinggi telah menerima seluruh pendidikan mereka dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bentuknya telah disempurnakan sehingga berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang wujud dalam kehidupan rakyat Malaysia, dan hari ini bahasa Melayu dapat bersaing dan berdiri sama teguh dengan bahasa-bahasa moden yang lain di dunia ini seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Rusia dan bahasa-bahasa yang lain walaupun kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi sering tercabar pada masa kini.

Banyak cabaran yang dihadapi dalam mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Justeru itu, kerajaan telah mengorak langkah dalam mempertahankan bahasa tersebut. Pelbagai usaha yang telah dirancang dan dilaksanakan bagi memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia seperti program Bulan Bahasa, Bahasa Melayu Bahasa Perpaduan, Bahasa Jiwa Bangsa, Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan sebagainya.

Bahasa kebangsaan sesebuah negara hendaklah bersifat standard atau baku, kerana dengan bersifat demikian barulah dapat bahasa itu menjalankan tugasnya dengan berkesan sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pengantar ilmu yang tinggi dan bahasa perhubungan rakyat jelata. Sesuatu bahasa haruslah distabilkan dengan sistem pengekodan yang sesuai untuk memungkinkan bahasa itu berfungsi dengan baik. Salah satu aspek pengekodan bahasa ialah pembentukan norma yang diterima dan digunakan sebagi panduan oleh penutur bahasa tersebut. Justeru, dalam kertas kerja ini akan membincangkan tentang ‘Pengajaran Tatabahasa Dalam Konteks’  yang berkaitan dengan prinsip-prinsip, kaedah dan teknik dalam pengajaran tatabahasa.
5.0  PENGAJARAN TATABAHASA DALAM KONTEKS
Ada beberapa istilah dan konsep yang perlu diberi definisi yang berkaitan dengan pengajaran tatabahasa supaya kita dapat melihat dengan jelas kepentingannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa di dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa, banyak waktu yang digunakan untuk mengajar tatabahasa. Justeru, dalam hal ini istilah pendekatan, kaedah dan teknik juga perlu kita ketahui terlebih dahulu.

Pendekatan
Terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan dalam pengajaran tatabahasa. Antaranya pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan elektik dan pendekatan 4P(Pengenalan, Penyampaian, Penilaian, Penerapan).

Pendekatan induktif adalah satu pendekatan mengajar yang melibatkan satu proses penaakulan yang tinggi. Dalam proses penaakulan ini, murid diajar sesuatu bahan pengajaran itu secara langsung, iaitu diberitahu tentang hal-hal yang berkaitan dengan pelajaran tersebut. Menurut John, M.Kierzik dan Walker Gibson(1960), pendekatan induktif dimulakan dengan sesuatu sebab ata contoh dan bergerak ke hadapan kepada satu generalisasi. Dalam hal ini, guru akan mengumpulkan contoh-contoh daripada teks, menunjukkan dan menerangkan bagaiamana ai berfungsi dan membantu murid untuk menghasilkan satu kesimpulan yang sesuai.

Pendekatan deduktif pula merupakan satu pendekatan mengajar yang mengasaskan pengajaran dan pembelajaran murid kepada hukum-hukum tertentu. Seperti pendekatan induktif, pendekatan deduktif juka memerluka penaakulan yang tinggi. Dalam pendekatan ini, sesuatu pembelajaran itu akan dimulakan dengan melihat hukum-hukum atau mempelajari peraturan-peraturan tertentu. Dari sini, pembelajaran akan diteruskan dengan menganalisis hukum-hukum tadi melalui contoh-contoh atau mengaplikasikan peraturan-peraturan yang telah diberi. Dalam pengajaran yang menggunakan pendekatan ini, murid akan menuju ke sesuatu fakta dengan menggunakan peraturan, formula, maklumat-maklumat tertentu, syor-syor atau generalisasi yang telah diterima terlebih dahulu. Dalam hal ini, sewaktu belajar, pemikiran murid akan bergerak daripada yang am kepada yang lebih khusus.

Pendekatan 4P  ialah satu lagi pendekatan yang dianggap berkesan untuk penguasaan tatabahasa. Pendekatan ini diperkenalkan oleh Floyd Bergman (1970) yang menggunakan kependekkannya sebagai I.D.E.A. Menurut pendekatan ini, pengajaran unsur-unsur tatabahasa boleh dijalankan dalam empat peringkat iaitu Pengenalan (Introduction), Penyampaian (Deliberation), Penilaian(Evaluation) dan Penerapan(Application). Pendekatan 4P  menggabungkan segala kebaikan yang ada dalam pendekatan induktif dan deduktif. Sesuai dengan pendapat golongan menatalis dan behaviuris, Bergman yang mengasaskan pendekatan ini tidak menolak keupayaan mental dan keperluan persekitaran dalam proses pembelajaran. Beliau mempercayai bahawa pembelajaran unsur-unsur tatabahasa memerlukan proses mental di samping banyak ulangan, latihan dan latih tubi. Dari segi aktiviti-akitivti yang perlu diketengahkan, gabungjalin ketiga kemahiran asas bahasa iaitu kemahiran lisan, membaca dan menulis adalah ditekankan.

Pendekatan elektik pula merupakan satu pendekatan yang diwujudkan hasil daripada gabungan dua atau beberapa pendekatan. Ia menggabungkan segala ciri baik yang terdapat dalam pendekatan tersebut untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran tertentu. Pengambilan ciri yang baik daripada beberapa pendekatan ini bertujuan untuk menghasilkan satu strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih seimbang, berfaedah dan berkesan.

Kaedah
Menurut Abdullah Hassan(1986), kaedah adalah sebagai langkah-langkah atau peringkat-peringkat yang diatur untuk mengajar sesuatu bahasa atau bahagian-bahagiannya , sesuai dengan pendekatan yang dipegangnya. Beberapa kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran tatabahasa iaitu antaranya kaedah nahu terjemahan, kaedah terus, kaedah audio-lingual(dengar sebut), kaedah kognitif dan……………….

Kaedah nahu terjemahan menitikberatkan pelajar-pelajar menghafaz rumus-rumus tatabahasa dan ayat-ayat yang dikemukakan oleh pelajar mengarah kepada pola atau struktur yang terdapat dalam rumus tatabahasa berkenaan. Perbendaharaan kata diberikan di pangkal pengajaran menerusi terjemahan dan tumpuan pengajaran kerap mengarah kepada kesalahan umum dalam penggunaan bahasa. Kaedah ini lebih cenderung menghurai bahasa tulisan dan mengetepikan langsung bahasa pertuturan atau kemahiran-kemahiran komunikasi terlalu banyak tekanan pengajaran diarahkan kepada pengetahuan peraturan bahasa dan kekecualian-kececualiannya.

Kaedah terus pula yang dikemukakan oleh Berlitz menekankan penggunaan struktur dan perbendaharan kata bahasa seharian dalam situasi yang aktif. Komunikasi di dalam kelas terbentuk melalui interaksi antara guru dengan murid. Bahasa sasaran terus atau langsung diajar tanpa menggunakan terjemahan-terjemahan daripada bahasa ibunda. Bahan-bahan pengajaran disusun mengikut rumus-rumus nahu dan disampaikan secara latih tubi bagi membiasakan pelajar dengan pola-pola atau struktur ayat yang dipelajarinya Kemahiran berbahasa akan terbentuk melalui latihan yang berulang-ulang melalui pertuturan.

Kaedah dengar sebut(audio-lingual) ini berorientasikan kemahiran mendengar dan bertutur, walaupun kemahiran membaca dan menulis tidak ketinggalan. Kaedah ini juga menekankan program pembelajaran bahasa untuk perhubungan atau komunikasi. Ada empat ciri kaeda dengar sebut ini seperti mana yang diketengahkan oleh Abdul Majid(1980) iaitu :

ü  biasanya setiap perkara yang hendak dipelajari disampaikan dalam bentuk lisan , sebelum perkara tersebut wujud dalam bentuk tulisan

ü  kaedah pembelajaran bergantung kepada kebolehan menganalisis perbezaan di antara bahasa penutur dengan bahasa yang dipelajari secara saintifik

ü  penekanan harus diberikan dalam latih tui mengenai bentuk bahasa itu dinamakan latihan pola(pattern practice)

ü  memerlukan keadaan yang nyata di dalam perhubungan di antara individu dengan individu yang lain.

Selain daripada ciri-ciri tersebut, kaedah dengar sebut ini mengutamakan dialog sebagai alat yang ampuh menerangkan sesuatu bahasa dan penekanan yang berulang-ulang untuk melahirkan suatu tabiat. Kaedah ini tidak memberikan tumpuan kepada pengajaran ilmu tatabahasa dan menolak pendekatan kaedah nahu terjemahan yang berbentuk intelektual yang cuba menghuraikan permasalahan bahasa. Proses pembelajaran dilihat sebagai satu tabiat dan pelaziman tanpa melibatkan analisis yang bersifat inteletual atau menggerakkan daya fikir dan kreatif. Latihan-latihan berbentuk mudah dan aktif supaya pembelajaran tidak dianggap sebagai satu bebanan pemikiran. Kaedah ini juga menerapkan penggunaan peralatan mengajar seperti benda-benda maujud, gambar dan makmal bahasa. Penekanannya disampaikan secara berulang-ulang untuk membiasakan penggunaan bahasa seperti menerusi teknik latih tubi yang membolehkan para pelajar membuat gerak balas hasil daripada rangsangan guru.

Kaedah kod kognitif ini lebih bersifat analisis sedangkan kaedah dengar sebut pula digerakkan secara analogi. Perbezaan yang jelas antara kaedah dengar sebut dengan kaedah kognitif ini ialah penggunaan pemikiran dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.Dengan analisis, pelajar menggunakan fikirannya untuk memahai sesuatu rumus tatabahasa. Azman Wan Chik (1968) menerapkan beberapa ciri kaedah kognitif iaitu menguasai dengan secara sedar pola-pola fonologi, sintaksis dan leksikal sesuatu bahasa, pembelajaran dengan menganalisis pola-pola dan menekankan pemahaman para pelajar akan struktur sesuatu bahasa daripada kesenangan menggunakan struktur tersebut. Para pengkaji pendidikan menyifatkan kaedah ini merupakan lanjutan atau penyesuaian kaedah nahu terjemahan. Dalam bentuknya yang baru, kaedah ini memberatkan soal penguasaan bahasa secara sedar, iaitu bahasa sebagai satu sistem yang bermakna.

       5.1  Prinsip Pengajaran Tatabahasa
Aspek tatabahasa merujuk kepada keupayaan murid menguasai perkara asas dalam pembentukkan kata dan ayat serta menggunakan tatabahasa mengikut cara dan sistem yang betul semasa membina ayat. Selain itu, aspek sebutan, intonasi dan semantik serta penggunaan peribahasa dan perbendaharaan kata yang betul juga diberi penekanan. Pengajaran dan pembelajaran tatabahasa diberi penekanan melalui penggabungjalinan kemahiran bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dalam pengajaran tatabahasa, terdapat beberapa prinsip pengajaran aspek tatabahasa yang perlu diketahui.Pertama, guru perlu membuat perancangan yang rapi terlebih dahulu sebelum melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam aspek tatabahasa yang hendak disampaikan kepada murid. Perancangan yang rapi boleh menjamin keberkesanan penyampaian pengajaran seseorang guru itu dengan lebih bermakna.

Selain itu, guru juga seharusnya memulakan proses pengajaran tatabahasa daripada yang mudah kepada yang lebih kompleks. Ini bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dan kesukaran murid untuk memahami isi pelajaran tatabahasa yang disampaikan oleh guru. Tambahan pula, dalam sesuatu bilik darjah, murid-muridnya terdiri daripada pelbagai tahap kecerdasannya, iaitu ada murid yang dapat memahami pelajaran tatabahasa dengan cepat dan ada yang murid yang lambat (slow learner). Justeru, lebih baik guru menyampaikan isi pelajaran tatabahasa dengan perkara-perkara asas dan yang mudah difahami oleh murid.

Di samping itu, dalam pengajaran tatabahasa guru perlu menyediakan latih tubi yang banyak. Latih tubi yang disediakan dan diberikan kepada murid sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan mampu mengekalkan ingatan aspek tatabahasa yang dipelajari dengan kukuh. Melalui latih tubi yang diberikan kepada murid, guru akan dapat mengesan kesilapan-kesilapan yang mungkin dilakukan oleh murid-murid dan seterusnya membuat tindakan yang sewajarnya bagi membantu murid-murid tersebut.

Prinsip yang seterusnya ialah guru hendaklah mengajar secara konkrit dengan menggunakan alat bantu mengajar dan bahan rangsangan yang menarik dan berkesan. Penggunaan bahan mengajar dan bahan rangsangan dalam pengajaran tatabahasa mampu menarik minat murid untuk mempelajari isi pelajaran atau aspek tatabahasa yang disampaikan. Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar juga dapat membantu dan memudahkan penyampaian guru dalam bilik darjah.

Sebelum seseorang guru mengajar aspek tatabahasa, guru tersebut hendaklah mengenal pasti struktur isi dengan jelas. Ini bermakna seseorang guru itu perlu mahir tentang selok-belok tatabahasa yang hendak disampaikan. Prinsip ini amat penting bagi mengelakkan maklumat berkaitan hukum-hukum dan peraturan tatabahasa yang disampaikan oleh guru di dalam bilik darjah menepati kehendak sukatan dan mengelakkan kekeliruan dalam pemahaman murid mempelajari tatabahasa.

Aspek tatabahasa mempunyai banyak rumus atau hukum bahasa. Walau bagaimana pun, prinsip pengajaran tatabahasa tidak menggalakkan murid atau pelajar untuk menghafalkan rumus atau hukum bahasa tersebut. Sudah mencukupi, kalau murid itu sudah memahami penggunaan tatabahasa dalam bahasa dengan betul kerana prinsip pengajaran tatabahasa juga menekankan aspek tatabahasa diajar secara terancang dalam sesi pengajaran bahasa di samping ia diajar dan digunakan dalam konteks mengikut kesesuaian.

Selain itu juga, prinsip pengajaran tatabahasa juga menitikberatkan makna dan aspek tatabahasa mengikut konteks berdasarkan petikan yang digunakan. Ini kerana pemahaman dan penguasaan dalam aspek tatabahasa yang terdiri daripada banyak hukum-hukum bahasa dan peraturannya akan dapat membantu seseorang itu menguasai dengan lebih baik.

       5.2  Teknik Yang Sesuai Dalam Konteks
Teknik adalah satu cara yang digunakan oleh guru untuk menyampaikan butiran pengajarannya. Sesuatu cara akan digunakan untuk mencapai tujuan tertentu dalam sesuatu pelajaran itu. Terdapat pelbagai teknik yang boleh digunakan oleh guru untuk pengajaran tatabahasa di dalam bilik darjah. Berikut ialah huraian beberapa teknik bagi pengajaran yang boleh digunakan oleh guru.

              5.2.1      Teknik Penerangan
                             Teknik ini merupakan teknik yang selalu digunakan oleh kebanyakkan guru yang
                             mengajar tatabahasa di sekolah. Ia berlandaskan penerangan guru terhadap
                             huraian unsur-unsur tatabahasa yang dipelajari. Guru akan mengambil masa
                             yang  lebih banyak untuk menerangkan konsep-konsep tatabahasa tersebut,
                            iaitu   melibatkan bentuk, fungsi dan maknanya.
                            Semasa keterangan disampaikan oleh guru, pelajar akan cuba memahamkannya   
   secara serius di samping memerhati dengan teliti fungsi, bentuk dan makna
  tatabahasa tersebut. Pelajar akan diberikan banyak latihan selepas penerangan
  guru
  untuk mengukuhkan pemahaman mereka.
 Menurut teknik ini, penerangan guru hendaklah terang, jelas dan mudah difahami oleh pelajar dan dilakukan dengan lengkap dan sempurna. Sebaik-baiknya, guru perlu menggunakan contoh yang pratikal dan konkrit. Penerangan juga perlu berlandaskan struktur isi yang telah dirancang dan diperingkat-peringkatkan dengan baik.

Untuk pengajaran yang lebih baik berkesan, penerangan harus diikuti dengan latihan-latihan pengukuhan. Ini penting untuk membiasakan pelajar dengan aspek-aspek tatabahasa yang dipelajari. Latihan-latihan boleh terdiri daripada latihan lisan atau tulisan dan sekaligus mampu menilai pemahaman dan keupayaan pelajar dalam aspek-aspek yang dipelajari. Daripada latihan-latihan seperti ini juga, pelajar berpeluang meneliti kesilapan-kesilapan mereka dan kemudian membetulkannya sendiri.

              5.2.2      Teknik Keperihalan
Teknik ini biasanya mengkehendaki guru menyediakan sebuah karangan bertulis yang mengandungi ayat-ayat daripada pelbagai bentuk dan jenisnya, menurut pola-pola tertentu. Menurut Arbak Othman(1985), tujuannya ialah supaya kepelbagaian atau keseluruhan ayat-ayat yang bercampur dalam karangan yang telah disusun menurut kesesuaiannya itu dapat memperlihatkan perbezaan keperihalan pemakaian perkataan-perkataan yang diajarkan.
Biasanya, berdasarkan karangan yang disediakan itu, pelajar-pelajar dikehendaki meneliti cara perkataan-perkataan yang bergaris itu digunakan dalam keperihalan-keperihalan tertentu. Pada akhir pelajaran, pelajar dikehendaki menggunakan beberapa perkataan tertentu dalam ayat-ayat atau menggunakannya dalam karangan yang ditentukan.

Teknik ini boleh digunakan untuk mengajarkan imbuhan-imbuhan tertentu sama ada imbuhan kata kerja yang hadir dalam ayat-ayat dengan predikat kerja atau imbuhan nama yang hadir melalui perkataan-perkataan terbitannya. Mungkin ia berupa subjek, pencukup, predikat kerja atau sebagai penyambut dalam ayat-ayat.
Dalam konteks pengajaran tatabahasa di sekolah-sekolah, teknik ini sesuai sekali digunakan terutama untuk pengajaran ayat-ayat dan juga bergantung kepada tahap penguasaan bahasa pelajar dan teks yang digunakan.

              5.2.3      Teknik Perbandingan
Teknik perbandingan merupakan satu cara mengajar tatabahasa yang dilakukan melalui perbandingan. Guru memberi ayat-ayat yang sama polanya, tetapi mengandungi perkataan yang diterbitkan oleh dua atau lebih bentuk imbuhan. Pelajar akan membuat perbandingan dari segi penggunaan perkataan-perkataan itu dalam pola-pola yang sama.
Perbandingan dilakukan dengan tujuan supaya pelajar dapat membezakan penggunaan perkataan-perkataan terbitan imbuhan yang diajarkan dalam pola-pola ayat yang berlainan atau dalam pola-pola yang sama. Dalam proses pembelajaran itu nanti, pelajar akan ditanya dan dikehendaki menerangkan persamaan atau perbezaan yang ada. Guru akan membimbing dan membetulkan kesalahan-kesalahan yang mungkin berlaku dalam keterangan-keterangan yang diberi. Biasanya, dalam pengajaran tatabahasa yang menggunakan teknik ini , guru menyampaikan pengajaran melalui proses bersoaljawab, berbincang atau mengemukakan pendapat dan sebagainya.
              5.2.4      Teknik Binaan
Teknik ini pula menekankan kepada usaha meluaskan ayat-ayat. Ia merupakan langkah penyampaian yang memerlukan guru menunjukkan bagaimana ayat-ayat itu dapat diperluaskan unsur-unsur gatranya,. Dengan memperlihatkan ayat-ayat itu dibina melalui peluasan gatranya, pelajar sentiasa dibantu untuk mengenal kemungkinan struktur-struktur ayat bahasa Melayu di samping dapat pula mempelajari dan mengenali panjang pendek ayat-ayat melalui bentuk-bentuk rangkai kata.

Melalui teknik ini, guru tidak digalakkan memberi penerangan atau membuat perbandingan, tetapi menumpukan perhatian pelajar terhadap beberapa cara ayat-ayat itu boleh diperluaskan menjadi bentuk-bentuk yang lebih besar.

Latihan-latihan tertentu hendaklah diberi dengan tujuan untuk menguji kefahaman pelajar tentang aspek yang diajar itu. Latihan-latihan boleh berupa latihan lisan atau bertulis. Di antara bentuk-bentuk latihan yang boleh diberi ialah latihan membuat ayat pola yang sama dengan menggunakan perkataan nama tertentu yang diberi sebagai unsur predikatnya. Pelajar dikehendaki memperkemaskan ayat-ayat yang diberinya itu dengan menambahkan perkataan tertentu yang sesuai kepada nama predikat itu. Latihan mengisi tempat-tempat kosong boleh juga diberi menurut cara yang sesuai dengan tujuan pengajaran yang disampaikan sebelum itu. Latihan lain yang sesuai boleh juga difikirkan oleh guru yang mengajar asalkan tujuan menguji kefahaman pelajar terhadap aspek yang diajarkan itu dapat dicapai.

              5.2.5      Teknik Analisis
Teknik analisis merupakan langkah-langkah penyampaian tatabahasa yang berdasarkan pencerakinan. Melalui teknik ini, guru memecah-memecahkan ayat-ayat yang diberi kepada unsur-unsur binaannya, iaitu subjek dan predikat itu dipecahkan pula kepada unsur-unsur yang lebih kecil yang membinanya. Pada mula-mula pengajaran,  guru akan menunjukkan cara-cara pemecahan itu dapat dilakukan. Kemudian latihan akan diberi, dan pelajar-pelajar diminta memecahkannya sendir. Ini dapat dilakukan melalui proses bersoaljawab yang melibatkan guru dan pelajar.


Seelok-eloknya guru menuliskan di papan tulis contoh-contoh analisis ayat yang betul yang diberi oleh pelajar. Ini bertujuan untuk membolehkan pelajar lain mempelajari binaan ayat dengan lebih jelas lagi. Biasanya contoh-contoh analisis yang betul yang dilakukan oleh pelajar sendiri boleh mengukuhkan lagi ingatan dan pemahaman mereka. Guru hanya membimbing dan membetulkan kesalahan-kesalahan yang mungkin wujud.
Dalam pengajaran ayat-ayat dengan menggunakan teknik ini, guru dikehendaki mendedahkan beberapa ayat yang telah dicerakinkan kemungkinan binaannya itu kepada  pelajar untuk diteliti dalam bilik darjah. Tiap-tiap ayat yang telah dipecah-pecahkan bahagian binaannya itu kan lebih jelas lagi jika dapat ditunjukkan dalam bentuk rajah pohon yang menerangkan bagaimana bahagian-bahagian tertentu membentuk ayat-ayat tertentu pula. Guru pula seelok-eloknya mewujudkan aktiviti yang berbentuk latihan menyebut ayaat-ayat yang diajarkan bahagian binaannya itu menurut sebutannya yang betul, perbincangan mengenai kedudukan dan pembentukan ayat yang menurut binaan unsur-unsurnya itu dan sebagainya. Dengan cara ini pelajar dijangka dapat memahami bahagian-bahagian pecahan ayat serta kedudukan unsur binaan ayat-ayat itu sendiri.













Wednesday 9 November 2011

ASAS KEMAHIRAN BERBAHASA

Asas kemahiran berbahasa terdiri daripada empat bahagian yang paling penting iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Keempat-empat kemahiran ini bukan sahaja dapat meningkatkan proses pembelajaran tetapi juga memudahkan seseorang menguasai sesuatu bahasa atau mata pelajaran lain. Selain itu kemahiran ini juga perlu dalam kehidupan sehari-hari.

Kemahiran mendengar.

Kemahiran mendengar ialah kemahiran yang paling asas untuk mempelajari kemahiran bahasa yang lain. Kemahiran mendengar melibatkan kemahiran menerima maklumat secara lisan. Proses mendengar adalah proses fizikal yang membabitkan telinga sebagai alat penerima bunyi bahasa. Proses memahami pendengaran pula melibatkan proses piskologi dan mental seperti pengamatan, kecerdasan dan pemikiran yang disepadukan untuk membolehkan seseorang itu memahami apa yang didengarnya untuk membuat tindak balas yang sesuai.

Kemahiran mendengar boleh didefinisikan sebagai proses yang membabitkan dua peringkat kemahiran. Peringkat pertama ialah menerima dan membuat perbezaan bunyi bahasa manakala peringkat kedua ialah memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan,frasa,klausa dan ayat.Pemahaman mengenai bunyi bahasa bergantung kepada pengetahuan, pengalaman budaya dan sikap pendengar.

Kemahiran bertutur

Bertutur memerlukan kemahiran kemahiran yang khusus. Kemahiran bertutur didefinisikan sebagai satu cara berkomunikasi yang amat kompleks, melibatkan proses mental yang menggerakkan alat artikulasi  untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna. Di samping penghasilan bunyi bahasa, seseorang itu akan menggunakan unsur prosodi dan para lingusitik ketika bertutur bagi menguatkan maksud pertuturan. Unsur prosodi ialah intonasi, nada, tekanan sebutan dan jeda. Unsur para lingusitik pula ialah bahasa isyarat dan pergerakkan badan. Bertutur ialah cara berkomunikasi yang paling tua, cara berhubung yang paling mudah, murah dan cepat untuk dipelajari. Walaupun tanpa sebarang latihan formal, kanak-kanak secara automatik dapat menguasai perkataan dan mengolahnya menjadi wacana untuk berhubung. Latihan secara formal pula akan memperbaiki , meneguhkan serta mengayakan lagi kebolehan mereka bertutur.


Kemahiran membaca

Membaca adalah kemahiran yang sangat berguna dalam kehidupan sehari-hari. Melalui pembacaan, seseorang akan dapat memperoleh pelbagai maklumat yang diperlukannya . Kemahiran membaca juga menjadi landasan kepada sekumpulan kemahiran yang perlu untuk menguasai kemahiran belajar. Membaca boleh ditakrifkan sebagai satu perlakuan mendapatkan maklumat melalui lambing bertulis atau bercetak. Aktiviti membaca melibatkan  dua proses iaitu menterjemah lambing bertulis(bercetak) kepada bunyi bahasa dan mendapatkan maklumat atau makna daripada bunyi bahasa yang disuarakan itu.

Untuk menjadi pembaca yang efektif, seseorang itu perlu dapat menyebut perkataan dengan betul dan lancar serta mengetahui makna perkataan yang dibaca. Bagaimanapun, dalam proses membaca aspek penyebutan kurang penting berbanding keupayaan berfikir, merasai serta memahami apa yang dibaca. Melalui proses itu, pembaca dapat memahami isi, maklumat, penerangan atau mesej yang hendak disampaikan penulis. Pembacaan tidak berlaku dengan pemikiran yang kosong tetapi diiringi dengan tujuan, jangkaan dan pengetahuan serta pengalaman lalu. Kebolehan mengaitkan dan mengintegrasikan segala aspek berkenaan sangat pentingg dalam menghasilkan pembacaan dan kefahaman.

Kemahiran menulis

Menulis masih menjadi alat perhubungan yang penting walaupun ter dapat pelbagai kemajuan dalam teknologi berkomunikasi. Melalui penulisan sesuatu idea , maklumat, pendapat dan ilmu pengetahuan dapat disampaikan dengan tepat dan jelas dan berkesan jika dibandingkan dengan penyampaian secara lisan. Menulis boleh ditakrifkan sebagai pembentukan simbol tulisan dalam bahasa. Dengan itu, kemahiran asa dalam penulisan berkait rapat dengan kebolehan murid menulis dalam bentuk tulisan yang terang,  jelas dan lengkap. Di samping itu, menulis juga merangkumi kebolehan menggunakan ayat dan penggunaan tanda baca yang betul bagi menyampaikan sesuatu pengalaman.

Kebolehan memilih dan menyusun pengalaman berguna untuk disampaikan secara bertulis adalah amat penting. Pengalaman yang dimaksudkan di sini ialah segala hasil pemikiran, fakta, pandangan dan pendapat, sama ada diperoleh melalui pengalaman sendiri, bacaan atau pendengaran.. Ia termasuk segala jenis penulisan seperti penulisan kreatif, surat, catatan dan ucapan. Bagi semua jenis penulisan ini, kejelasan tujuan, ketepatan fakta dan kekemasan susunan menentukan keberkesanan hasil penulisan itu.