Monday 12 December 2011

Raja Berperlembagaan

Sejarah:  Asal Usul Sistem Raja Berperlembagaan.

Sistem raja berpelembagaan telah dimulakan di England selepas pemberontakan Glorious Revolution pada 1688. Menurut Richard Buskin, pengarang buku British Royalty, sebab utama pemberontakan Oliver Cromwell yang disokong oleh 15,000 askar ialah semaraknya kemarahan rakyat akibat keengganan Raja Charles I mengadakan persidangan Parlimen kerana bimbang kuasanya akan terjejas. Selepas peristiwa itu, Raja Charles I telah dihukum pancung dan Cromwell telah menjadi presiden di mana England telah menjadi republik buat seketika. Kerajaan Cromwell tidak bertahan lama dan selepas lebih kurang 9 tahun berkuasa beliau meninggal dunia akibat malaria. Selepas itu, anak sulungnya Richard telah mengambil alih kuasa, tetapi hanya memerintah selama setahun. Maka, tanpa pilihan lain, Raja Charles II diangkat ke takhta. Namun demikian, raja pada kali ini naik takhta atas persetujuan parlimen dan pada detik itu bermulalah sistem raja berperlembagaan di England sampailah ke hari ini.


           SISTEM KERAJAAN PERSEKUTUAN

Malaysia mengamalkan sistem kerajaan demokrasi berparlimen yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Negara kita merupakan sebuah persekutuan di mana kuasa pemerintahannya dibahagikan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri. Kuasa Kerajaan Persekutuan lebih banyak daripada kuasa Kerajaan-kerajaan Negeri. Terdapat tiga peringkat pentadbiran iaitu persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

Sistem Kerajaan Persekutuan merangkumi Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja, tiga komponen kuasa pemerintahan ( perundangan , eksekutif dan kehakiman ), Ketua Audit Negara dan suruhanjaya-suruhanjaya. Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara dan Raja Berperlembagaan. Baginda berada di kemuncak ketiga-tiga bidang kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Majlis Raja-Raja terdiri daripada raja-raja dari kesembilan buah negeri Melayu dan Yang Dipertua Negeri dari negeri Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah. Fungsi utama Majlis Raja-Raja tersebut ialah dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan dalam  membuat pertimbangan berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar-dasar negara.


Ketua Audit Negara pula bertanggungjawab untuk mengaudit dan membentangkan dalam Dewan Rakyat berkenaan dengan laporan-laporan akaun Kerajaan-kerajaan Persekutuan dan Negeri serta badan-badan lain yang menguruskan wang awam.

Kuasa eksekutif dilaksanakan oleh Kabinet ( Jemaah Menteri) yang diketuai oleh Perdana Menteri atas nama Yang di-Pertuan Agong. Kabinet mengandungi menteri-menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan ia merupakan badan pembentukan dasar negara yang tertinggi. Tugas-tugas pemerintahan dan pentadbiran harian dilaksankan oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan. Terdapat juga perbadanan-perbadanan awam yang umumnya melaksanakan rancangan pembangunan sosioekonomi negara.

Badan perundangan persekutuan atau Parlimen mempunyai tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dari segi hierarki, mahkamah-mahkamah awam terdiri daripada Mahkmah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dua buah Mahkamah Tinggi Malaya iaitu Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ; serta Mahkamah-mahkamah Rendah. Ketua Kehakiman ialah Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

Doktrin perasingan kuasa tidak diamalkan sepenuhnya di Malaysia. Umpamanya, Parlimen Malaysia sebagai badan perundangan mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang . Namun demikian, Parlimen juga memberi kuasa kepada badan eksekutif (Kabinet atau pihak-pihak lain) untuk membuat undang-undang yang disebut sebagai perundangan perwakilan. Malahan menteri-menteri yang menjalankan kuasa eksekutif juga merupakan ahli Parlimen dan bertanggungjawab kepada institusi tersebut. Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa eksekutif juga merupakan salah satu komponen Parlimen.


        KONSEP RAJA BERPELEMBAGAAN
Raja berperlembagaan adalah sejenis kerajaan yang ditubuhkan di bawah sistem perlembagaan yang mengiktiraf Raja sebagai ketua negara. Raja berperlembagaan yang moden biasanya menggunakan konsep trias politica, atau politik tiga serangkai. Ini bermaksud Raja adalah hanya ketua simbolik di dalam rangkai eksekutif dan kuasanya adalah terhad oleh perlembagaan negara. Apabila seorang Raja mempunyai kuasa pemerintahan yang penuh ia dipanggil monarki mutlak ( absolute monarchy ).
Pada hari ini, raja berperlembagaan lazimnya digabungkan dengan perwakilan demokrasi. Oleh itu, kerajaan masih dibawah kuasa rakyat tetapi raja mempunyai peranan tradisional di dalam sesebuah negara. Pada hakikatnya Perdana Menteri, iaitu pemimpin yang dipilih oleh rakyat, yang memerintah negara dan bukannya Raja. Namun demikian, terdapat juga Raja yang bergabung dengan kerajaan yang tidak demokratik. Misalnya, sewaktu Perang Dunia II, raja Jepun bergabung dengan kerajaan tentera yang dipimpin seorang diktator.
Sesetengah Raja Berperlembagaan adalah berlandaskan Sistem Perwarisan atau mewarisi takhta, manakala yang lain adalah melalui sistem demokratik seperti di Malaysia di mana Yang di-Pertuan Agong adalah dipilih oleh Majlis Raja-Raja setiap lima tahun.
Terdapat beberapa buah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan pada hari ini. Antaranya ialah Malaysia ( Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin), Monaco ( Putera Albert II), Jordan (Raja Abdullah), Nepal (Raja Gyanendra Bir Bikram Shah Dev), Maghribi (Raja Mohammed VI),  Kemboja (Raja Norodom Sihamoni) dan lain-lain.

       Yang Di-pertuan Agong
Jawatan Yang di-Pertuan Agong telah diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Yang di-Pertuan Agong merupakan seorang raja berpelembagaan yang memerintah mengikut kuasa yang diberikan kepada baginda oleh Perlembagaan. Sebagai Ketua Negara Malaysia, Yang di-Pertuan Agong berada di kemuncak ketiga-tiga bidang kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai keutamaan yang melebhi semua orang di Malaysia dan tidak boleh didakwa dalam mana perbicaraan mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong melakukan sesuatu kesalahan semasa meaksanakan tugas rasminya, pihak yang terkilan boleh mendakwa dengan menamakan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan. Yang di-Pertuan Agong juga merupakan lambang kedaulatan dan perpaduan negara.

        Pemilihan Yang di-Pertuan Agong

Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan sembilan orang raja Melayu dari sembilan buah negeri Melayu yang mempunyai raja oleh Majlis Raja-Raja Melayu mengikut aturan yang terkandung dalam Jadual Ketiga, Perlembagaan Malaysia. Walaubagaimanapun, Yang Dipertua Negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka adalah tidak berkelayakan membuat pemilihan ini.

Setiap raja boleh dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong, kecuali baginda belum cukup umur, atau sengaja tidak mahu dipilih, atau difikirkan tidak layak oleh Majlis Raja-Raja dengan undi sulit atas sebab-sebab kelemahan akal atau tubuhnya atau oleh kerana sebab-sebab lain. Raja yang pertama dalam senarai pemilihan dan mendapat sokongan daripada sekurangnya-kurangnya lima orang raja akan ditawarkan jawatan ini selama lima tahun melainkan baginda meletakkan jawatan sebelum tempoh berkenaan atau dilucutkan jawatan oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Isteri Yang di-Pertuan Agong digelar Raja Permaisuri Agong dan mempunyai keutamaan selepas Yang di-Pertuan Agong.

       Kuasa Eksekutif
Kuasa eksekutif adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong. Namun demikian, baginda harus bertindak atas nasihat Kabinet atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Kabinet (biasanya Perdana Menteri).

Yang di-Pertuan Agong berhak mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan daripada Kabinet. Semasa Majlis Raja-Raja membincangkan perkara-perkara mengenai dasar negara, baginda diiringi oleh Perdana Menteri.

       Hubungan Dengan Parlimen
Yang di-Pertuan Agong merupakan satu daripada tiga komponen Parlimen ( di samping Dewan Rayat dan Dewan Negara). Baginda boleh memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen. Yang di-Pertuan Agong boleh juga memberi ucapan dalam mana-mana Majlis Parlimen atau dalam kedua-dua Majlis Parlimen bersama. Rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mendapat persetujuan (kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 66) Yang di-Pertuan Agong sebelum dijadikan undang-undang.

        Hubungan Dengan Kehakiman
Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi dan hakim-hakim lain Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mengampun segala kesalahan yang dibicarakan dalam mahkamah tentera, segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam Mahkamah Syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah. Di samping itu juga, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengampunkan pesalah yang dikenakan hukuman di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) .

      Tugas-tugas Lain
Yang di-Pertuan Agong merupakan Panglima Tertinggi Bersenjata dan Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak yang tidak mempunyai raja-raja Melayu dan negeri baginda sendiri. Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

        Kuasa Budi Bicara
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicaranya sendiri dalam tiga perkara berikut  iaitu ;

a)        melantik seorang Perdana Menteri
b)        tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen
c)        meminta supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan,  kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja

       Perkara-perkara Yang Tidak Boleh Dilakukan Oleh Yang di-Pertuan Agong
Terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Antara perkara-perkara tersebut ialah ;

a)        Tidak boleh dengan giatnya melibatkan diri dalam perniagaan
b)        Tidak boleh memegang jawatan bergaji
c)        Tidak boleh meninggalkan Malaysia selama tempoh yang melebihi lima belas hari kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu atau kerana membuat lawatan rasmi ke sebuah negara lain
d)       Tidak boleh menerima apa-apa jua jenis emolumen dari negeri yang baginda menjadi raja
e)        Tidak boleh menjalankan tugas-tugas sebagai raja negerinya kecuali tugas-tugas sebagai Ketua Agama Islam, pindaan perlembagaan dan perlantikan Pemangku Raja atau ahli Jemaah Pemangku Raja.

       KESIMPULAN

Berdasarkan huraian yang berkaitan dengan Raja Berperlembagaan di atas, sememangnya kita harus bersyukur dan berasa bertuah dengan sistem kerajaan atau sistem pemerintahan negara kita Malaysia amalkan. Kita sedia maklum bahawa negara Malaysia terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum dan etnik yang berlainan, namun masih dapat hidup dengan aman dan tenteram serta bertolak ansur antara satu sama lain jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Selain itu, sistem pemerintahan negara Malaysia amalkan telah berjaya dan mampu menjamin kestabilan negara kita dari segi politik, ekonomi dan sosial. Kestabilan ini juga telah mendorong kepercayaan terhadap pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara kita.Begitu juga dengan rakyat Malaysia yang masih menaruh kepercayaan terhadap sistem pemerintahan yang negara kita amalkan. Banyak kemajuan yang telah negara kita capai dari pelbagai aspek sehingga nama Malaysia dikenali di seluruh dunia semenjak negara kita mencapai kemerdekaan. Jikalau kita lihat pada hari ini, negara kita sedang pesat membangun dan bertambah maju selaras dengan Wawasan 2020 serta pada masa yang akan datang. Setiap warga Malaysia percaya bahawa kebijaksanaan dan ketelusan para pemimpim untuk mentadbir negara ini mampu mengurustadbir negara Malaysia dengan baik.

No comments:

Post a Comment